Saturday, July 24, 2010

Penjaga Hati


Salam..

Sejak akhir-akhir ni saya berasa letih sekali. Letih jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Fizikal dan jasmani saya di perah habis-habisan untuk bekerja di kedai makan selama 8 jam. Punyalah ramai orang! Memang murah rezeki restoran ni. Tapi yang paling penting, tauke orang Islam, maka solat terjaga. Cumanya saya sangat letih fizikal hingga saya tersengguk-sengguk waktu solat malam, mengaji dan membaca buku-buku tazkirah. Sampai rumah pukul 6 petang. Pukul 11 malam dah nak masuk tidur, tak banyak yang boleh saya lakukan. Bila saya rasa tak puas hati dan kepenatan, mulalah emosi tak stabil, cepat naik marah. Sampaikan untuk berfikir secara rasional pun saya tak mampu nak lakukan. Satu malam semasa saya off day, saya muhasabah diri. Saya baru hidup untuk diri sendiri. Tiada siapa yang perlu saya jaga dan pelihara. Tapi saya dah tak mampu nak lakukan. Adakah kemampuan dan semangat saya setakat ini sahaja?

Kotak memori saya berputar seketika untuk mencari jalan penyelesaian. Saya teringta, sebelum kawan saya berkahwin, saya dan dia keluar makan. Saya tanya dia, bagaimana perasaannya bakal menjadi isteri orang?.. Dia jawab, biasa-biasa saja. Dan dia rasa seolah-olah beban dirinya bertambah. Dulu dia hanya fikir untuk dirinya sahaja tetapi apabila berkahwin nanti dia bukan sahaja berkahwin dengan suaminya malahan satu keluarga suaminya. Banyak hati yang perlu dijaga. Dia perlu prihatin tentang keperluan dan perasaan orang lain. Perlu ketepikan sikap pentingkan diri. Tambahnya lagi, latar belakang dan cara hidup dia selama 22 tahun adalah berbeza dengan bakal suaminya. Dia tak tahu sama ada dia boleh beradaptasi dengan cara hidup yang diamalkan bakal suaminya selama 26 tahun itu. Isu berlainan pendapat dan pandangan tentang kehidupan belum diutarakan lagi.. Kawan saya tersenyum melihat saya yang berkerut-kerut mendengar sebuah jawapan yang panjang lebar. Dia kata pasti saya membayangkan perkahwinan itu sangat membahagiakan seseorang, lebih-lebih lagi impian membina sebuah keluarga itu menjadi buruan setiap insan. Tetapi jenis keluarga bagaimana yang ingin kita bina? Yang paling penting katanya jadilah seorang penjaga hati.

Penjaga hati? Bagaimana hendak menjadi penjaga hati? Tanya saya minta penjelasan. Penjaga hati adalah orang yang memelihara hubungan balasnya. Hubungan dengan Allah, hubungan dengan insan dan hubungan dengan alam. Tanpa hati, kita tak dapat merasai kepentingan dan kemanisan sesuatu hubungan. Untuk memelihara hubungan dengan Allah, hati kita perlu ikhlas dan kita perlu mempunyai sifat ihsan. Berbuat sesuatu kerana kita tahu perbuatan kita sentiasa dilihat oleh Allah dan semua kebaikan yang dilakukan adalah untuk mendapat keredhaan, rahmat dan kasih-sayangnya. Selain itu, kita sebagai hambaNya perlu redha dengan ujian dan dugaan yang diberikan. Jaga hatimu daripada berkeluh kesah.

Memelihara hubungan sesama manusia bukan sahaja dengan menjaga tingkah laku dan ucapan supaya tak menyinggung perasaan orang lain tetapi juga dengan amar ma'ruf dan nahi mungkar. Itulah hebatnya muslimah solehah yang berusaha menjadi heroin supaya sahabat-sahabat lain tidak terjerumus ke jalan menuju kemungkaran dan sama-sama berlumba untuk berbuat kebaikan. Untuk berbuat begitu, didiklah hati supaya melakukannya tanpa minta dibalas dan tanpa minta dipuji serta tidak bersikap riya'.

Hubungan dengan alam yang indah ciptaannya ini adalah dengan mentadbirnya secara baik. Hati itu mestilah yang mencintai kedamaian, ketenangan dan kebersihan alam. SubhanALLAH, cantiknya alam dan makhluk-mahkluk lain. Setiap ciptaan ada tugasan mereka masing-masing. Walaupun hanya seekor ulat lalat yang kita anggap jijik itu pun mempunyai banyak fungsinya kepada manusia. Ajarkanlah hati bersyukur dengan alam yang kita ada dan mempunyai sifat bertanggungjawab untuk menjaga mereka.




Sungguh saya terpesona mendengar tazkirah tidak formal daripada kawan saya ini. Saya tak sangka itulah maksudnya penjaga hati yang selalu dilaung-laungkan selama ini. Ya, Allah jadikanlah hambaMu ini, kedua ibubapa, keluarga, rakan-rakan dan Muslimin muslimat sekalian sebagai penjaga hati.





No comments:

Post a Comment