Wednesday, October 6, 2010

Antara impian dan realiti....

...inilah realiti kehidupan...



Salam...

Pertama-tama kali Alhamdulillah atas kurniaan malam yang indah ini setelah mengacau-ngacau puding untuk kawan sekampung yang bakal datang beraya esok. Rindu kat dia sebab lama tak jumpa. Akhirnya datang juga setelah di pujuk paksa. =)

Sebenarnya sewaktu tengah kacau puding tu sampai likat, saya teringat sebuah kisah mengenai impian dan realiti. (Sebenarnya tengah memikirkan mampukah saya berjaya dalam temuduga nanti dan walaupun pekerjaan yang ditawarkan bukan berasal dari impian hidup saya, tetapi mengikut arus masa dan keadaan, ia menjadi impian saya, kerana itulah realiti pada hari ini.) Setelah 23 tahun bernafas di dunia ni, banyak perkara yang saya impikan dan yang saya mahukan. Tetapi tak semua impian yang saya idamkan menjadi kenyataan. Walau banyak mana saya berusaha, tetap juga tak dapat mencapainya. Kadang-kadang sampai saya lelah dan penat mengejarnya. Bergelen-gelen air mata yang mengalir memohon daripada Ilahi, tetapi tiada juga berhasil. Pilu rasa hati ini bila terjadi begini..

Sebagai umat Islam kita tak seharusnya berputus asa pada rahmat Allah S.W.T. Dan dalam masa yang sama kita wajib menerima ketentuanNya. Kerana yang kita impikan itu tidak semestinya baik untuk kita.

Sebuah kisah ini mengenai seorang isteri yang setelah berkahwin selama 10 tahun tetapi masih tidak dikurniakan cahaya mata. Setiap kali dalam sujudnya dia berdoa agar dikurniakan cahaya mata buat penawar duka hatinya. Hatinya berbisik tatkala melihat kanak-kanak kecil, 'alangkah indahnya jikalau daku mempunyai seorang anak. Pasti ku belai dan ku manjakannya'.

Dengan kuasa Allah, pada suatu hari dirinya rasa lemah-lemah badan, sering sakit perut dan mengalami muntah-muntah yang teruk. Dia berfikir bahawa dirinya keracunan makanan tetapi apabila dia pergi ke klinik, doktor mengesahkan dirinya mengandung. Dia dan suaminya sangat gembira.

Setelah 4 tahun berlalu, anaknya itu membesar dengan comel dan tersangatlah aktif. Tetapi anaknya mempunyai satu kebiasaan iaitu suka mengoyak tisu. Si isteri ini adalah sangat pembersih orangnya. Pada mulanya, dia memberitahu anaknya itu bahawa membazir mengoyak tisu tanpa digunakan dan jika mahu membuangnya, buanglah dalam tong sampah jangan di sepahkan merata-rata'. Anak ini pandai memujuk ibunya. Setiap kali di tegur mengenai tisu itu pasti dia membuat muka comel dan minta di cium.

Walau sebanyak mana pun di tegur, perangai anak itu masih tidak berubah dan si ibu makin merasa meluat perangai anaknya yang cuba mengambil hatinya tika di marah. 'Dulu, waktu kamu tiada rumah ibu ni bersih tanpa sampah! Sekarang kamu datang jer bersepah rumah!'. Begitulah marahnya sang isteri ini sehinggakan dipukul anak kecil itu. Jikalau suaminya ada di rumah pasti di tenangkan isterinya.

Pada suatu hari, seperti biasa anak itu membuat rumah bersepah. Si ibu yang keletihan setelah menguruskan kerja-kerja rumah dan membuat tempahan kek tersangatlah berang. Sehinggakan dia menyumpah anaknya dengan berkata, 'Kamu tiada lagi bagus!'. Anaknya yang sedih itu berlari keluar rumah dan menyorok di satu sudut laman. Si ibu yang bersiap-siap hendak menghantar tempahan kek tersebut tidak menyedari ketiadaan anaknya di dalam rumah. Di sangka anaknya berada di dalam bilik. Semasa si ibu mengundurkan kereta keluar pagar, si anak yang mendengar bunyi kereta terus menyerbu kereta tersebut kerana mahu mengikut. Bang! Bunyi kereta melanggar anak kecil itu. Si ibu yang terkejut dengan kejadian itu segera meluru keluar daripada kereta dan segera di peluk tubuh satu-satunya anak yang dimilikinya...

Begitulah kisah yang pernah saya baca dari sebuah buku motivasi.

Pengajaran kisah ini adalah:

1. manusia sering lupa untuk bersyukur atas kurniaan yang telah diberikan.
2. kebanyakan realiti kita pada hari ini adalah datangnya dari usaha kita untuk menggapai impian.
3. sebelum 'pinjaman' yang telah diberikan kepada kita ditarik balik, hendaklah kita menjaganya sepenuh hati dan menjadi orang-orang yang bersyukur.
4. Apabila kita sudah menjadi seorang ibu, kita perlu berhati-hati apabila bercakap kerana cakap kita adalah doa buat si anak.
5. Sebagai seorang anak kita perlu membantu meringankan beban ibu dan bapa.

Bagi pendapat saya, sukar hendak memilih antara impian dan realiti. Contohnya, saya menyimpan impian hendak membeli kamera DSLR Canon EOS 1000D yang berharga lebih kurang RM 5000. Kemungkinan saya mampu membelinya jika saya mengumpul duit dan berjimat-cermat. Tetapi disebabkan saya hendak membantu ibu dan bapa pergi ke Mekah. Maka, saya tidak lagi menyimpan hasrat itu dan membeli kamera digital yang hanya berharga RM 500. Kemungkinan contoh itu tidak berapa logik tetapi berhati-hatilah menyimpan impian. Janganlah impian itu bersifat idealistik yang sukar di realisasikan kerana kelak diri sendiri yang merana. Boleh menyimpan impian tetapi pastikan ianya realistik dan boleh di capai. . Dan jangan mengaku kalah, berani gagal kerana gagal itu sebahagian daripada proses daya usaha. Orang berusaha ada dua kemungkinan sama ada berjaya atau gagal. Yang tak berusaha pastilah tiada perubahan yang berlaku dalam hidupnya tetapi bagi saya sangatlah tak seronok hidup begitu kerana tiada kepuasan hidup yang dicapai. Sekurang-kurangnya pengalaman kegagalan itu memberi diri kita semangat ketabahan, kecekalan dan ketekunan berbanding orang yang jarang sekali gagal. Dan ingatlah orang yang cekal dan tekun serta mempunyai ketahanan diri yang tinggi cenderung untuk melakukan kejayaan yang besar seperti Thomas Edison. (InsyaAllah... Motivasi untuk diri sendiri di kala nervous).


Wallahu'alam...

No comments:

Post a Comment